lubukzai

Sini..Sana..Situ…

Pembimbing Manusia

…………………..

ALANGKAH seronok, sekiranya tiada undang-undang yang mengikat kebebasan hidup, dapat melakukan sesuatu mengikut kehendak. Tetapi yang pasti, itu hanya satu fantasi kerana di mana-mana tertakluk kepada sistem undang-undang.
Undang-undang adalah satu sistem peraturan yang digubal bagi kebaikan semua pihak sama ada berasaskan adat, agama atau gandingan keduanya, malah di kebanyakan tempat cenderung kepada ideologi dianuti pemerintah dan rakyatnya.
Cuma yang dominan hari ini ialah sistem undang-undang Islam, walaupun pada satu ketika mereka yang mencemburui dengan agama terbabit mengklasifikasikannya sebagai undang-undang rimba.

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan, sistem perundangan berdasarkan agama Islam kini sudah tergolong dalam tiga sistem perundangan paling berpengaruh di seluruh dunia, di samping undang-undang sivil dan undang-undang lazim (common law).

Undang-undang Islam atau dikenali juga undang-undang syariah adalah berdasarkan al-Quran, iaitu kitab yang diturunkan Pencipta dan sunnah Nabi s.a.w, yang menjadikannya lebih sempurna dan unggul, sesuai untuk umat manusia sepanjang zaman.

Apa tidaknya, Sang Pencipta lebih mengetahui makhluk yang diciptanya, sekali gus menjadikannya suatu manual yang paling lengkap dalam mencari kesentosaan dan keselamatan, baik di dunia mahupun di akhirat, iaitu alam kehidupan yang berkekalan.

Perundangan syariah membabitkan banyak aspek dalam kehidupan manusia termasuk dalam bidang politik, ekonomi, perbankan, perniagaan, kontrak, kekeluargaan, seksual, kesihatan dan isu sosial termasuk jenayah serta pendidikan.

Sebelum kurun ke-19, teori perundangan dilihat mengikut aliran perundangan tradisional, dengan kebanyakan Muslim beraliran Sunnah mengikut imam Hanafi, Hambali, Maliki atau Syafie, manakala kebanyakan golongan Syiah, khususnya pengikut imam dua belas cenderung kepada aliran Jaafari.

Pada satu ketika iaitu sepanjang zaman keemasan Islam, undang-undang klasik Islam banyak mempengaruhi pembentukan undang-undang lazim dan beberapa institusi undang-undang sivil.

Syariah adalah perkataan Arab, berasal daripada kata kerja ‘syara’a’ dan menurut kamus al-Quran Abdul Manan Omar, berhubung kait kepada idea ‘sistem’ undang-undang Tuhan; cara percaya dan praktik.

Secara umum, hal berkaitan syariah dikenali juga dalam masyarakat Islam bidang fiqah, iaitu suatu disiplin yang membincangkan aspek perundangan dan hukum-hakam dalam banyak bidang termasuk hudud dan qisas, yang terkandung di dalamnya.

Dr Abd Kareem Zaidan dilaporkan berkata: “Sumber fiqah berdasarkan wahyu Allah, sama ada al-Quran atau sunnah. Begitupun kita memilih untuk membahagikan sumber ini kepada sumber asli, dinamakan al-Quran dan sunnah; dan sumber, kedua yang dirujukkan kepada teks al-Quran dan sunnah seperti ijmak dan qiyas.

Selain itu, pendapat sahabat, istihsan (pertimbangan), sadd al-dharaaia (menghalang tujuan yang membawa kepada kejahatan), istishaab, uruf (adat), perundangan yang datang sebelum kita, masaalih mursalah (perkara yang membawa kebaikan umum Muslim).

Mutakhir ini, jika diperhatikan, sistem perundangan dan norma kehidupan secara Islam semakin diterima ramai termasuk oleh bukan Islam. Paling ketara ketika ini ialah dalam bidang muamalah dan institusi perbankan, walaupun tidak semua sistem terbabit diguna pakai.

Arab Saudi dilaporkan memanfaatkan sistem undang-undang Islam yang tulen, namun ada yang mendakwa ia turut memasukkan sesetengah aspek budaya puak penduduk semenanjung itu.

Beberapa negara di Asia Barat seperti Iran dan Mesir juga mengguna pakai sistem perundangan syariah, sekali gus menjadi contoh kepada dunia antarabangsa dalam penerimaan undang-undang Islam.

Negara di Asia Tenggara tidak terkecuali cuba memanfaatkan perundangan Islam dengan sistem tersendiri seperti Malaysia, misalnya melalui sistem undang-undang yang diguna pakai di Mahkmah Syariah.

Indonesia, negara yang mempunyai kira-kira 200 juta umat Islam, iaitu negara paling ramai penduduk Islam di dunia, juga mempunyai Mahkamah Syariah yang ditubuhkan pertama kali di Aceh pada 2003, tetapi dengan sistem undang-undang Islam secara sederhana.

Bagaimanapun, versi undang-undang Islam diperkenalkan di wilayah itu lebih awal iaitu pada 2001, termasuk mengharamkan judi, minuman keras dan mewajibkan wanita memakai tudung kepala.

Dalam satu tinjauan kebangsaan baru-baru ini, majoriti rakyat negara itu menyokong penubuhan undang-undang Islam tetapi tidak sampai separuh mahu hukuman berat seperti memotong tangan pencuri atau memaksa wanita memakai pakaian menutup aurat dilaksanakan.

Agensi tinjauan Australia, Roy Morgan Research, menyatakan kira-kira 52 peratus penduduk negara itu yang disoal antara Julai 2007 hingga Mac 2008 menyokong pengenalan beberapa bentuk undang-undang syariah di kawasan mereka.

Tinjauan di Indonesia itu juga tidak memberikan definisi undang-undang syariah kepada responden tetapi soalan susulan mahukan pandangan mereka mengenai amalan di negara Islam di Asia Barat.

Apabila ditanya sama ada wanita perlu memakai purdah, iaitu pakaian yang menutup keseluruhan tubuh kecuali tangan dan kaki, sebanyak 45 peratus menjawab ‘ya’ manakala 40 peratus berkata, mereka mahu pencuri dipotong tangan sebagai hukuman.

Ketika ini, sesetengah negara bukan Islam dan minoriti Muslim yang mendiami negara terbabit termasuk di rantau Balkan, juga tidak terkecuali daripada menerima pengaruh sistem perundangan dan nilai Islam, malah segelintirnya berani bersuara atas dasar hak asasi kemanusiaan.

Britain misalnya dengan penduduk Islam yang semakin meningkat, mempunyai puluhan Mahkamah Syariah menyelesaikan masalah masyarakat Islam, meskipun tidak diiktiraf kerajaan, ia digunakan untuk menyelesaikan isu keluarga.

Majlis Syariah terbesar terletak di Leyton, timur London. Sejak ditubuhkan pada 1982, ia menangani 7,000 kes perceraian berdasarkan ketetapan syariah. Badan itu bukanlah pengganti Mahkamah Sivil tetapi menyediakan khidmat tambahan, membenarkan atau menafikan perceraian antara pasangan Islam.

Menurut kaji selidik pada Februari 2006, 40 peratus daripada 1.6 juta warga Islam Britain mengalu-alukan pelaksanaan undang-undang syariah di kawasan didiami majoriti penduduk Islam.

Biskop Cantenbury, Robin Williams, baru-baru ini dilaporkan membuat kejutan dengan mengumumkan negara itu perlu mengguna pakai undang-undang syariah dalam peraturan harian kehidupan moden mereka.

Akibatnya, Williams didesak meletak jawatan manakala pemimpin pula mengelak daripada mengulas mengenai pandangan penuh kontroversi itu dan menegaskan Britain hanya akan mengguna pakai perlembagaan moden sedia ada.

Bagaimanapun, dalam menggubal dan mempraktikkan sistem perundangan Islam, ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya harus dilakukan dengan penuh penelitian supaya imej Islam tetap terpelihara dan matlamat pemakaiannya tercapai.

Imam Syafie pernah berkata: “Tiada seorang pun mempunyai hak apa-apa untuk berkata sesuatu itu halal atau haram kecuali berdasarkan pengetahuan dan pengetahuan adalah teks dalam al-Quran atau sunnah atau ijmak atau qiyas.”

Beliau berkata lagi: “Tiada pendapat dijilidkan (diguna pakai) kecuali ia berasaskan kitab Allah atau sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap perkara selainnya sepatutnya berasaskan kepadanya.”

4 Januari 2009 - Posted by | Renungkan

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: