lubukzai

Sini..Sana..Situ…

Bolasepak Malaysia Masih Ada Harapan

Salam Buat Semua

Pencapaian dan prestasi pasukan bola sepak kebangsaan terus diperkatakan. Pelbagai suara, pendapat, kritikan dan pandangan menghiasi ruang media. Rasa ketidakpuasan hati lebih banyak dilemparkan dari kesediaan memberi komen bersama cadangan membina.

Isu bola sepak negara bukan isu bermusim. Sejak zaman Allahyarham Mokhtar Dahari bersama rakan-rakannya dan era sebelumnya kita dikatakan mempunyai pasukan yang digeruni di kalangan negara Asia. Ketika itu kedudukan negara amat baik dan berada di ranking teratas Asia.

Ini disebabkan negara-negara lain seperti Korea Selatan, Jepun, China serta negara-negara teluk belum menumpukan usaha pembangunan bola sepak mereka. Negara-negara terlibat lebih memfokus kepada pembangunan ekonomi.

Situasi berbeza kini selepas negara-negara tersebut memberi tumpuan dalam pembangunan bola sepak di negara mereka. Mereka memperkenalkan liga profesional sendiri. Persatuan bola sepak mereka mengimport tenaga-tenaga pakar dalam bola sepak, bukan saja jurulatih dan pemain tetapi berbelanja besar dalam semua aspek keperluan sukan bola sepak.

Situasi di negara kita:

1. Selepas kemunculan kuasa-kuasa baru bola sepak di Asia yang dianggap begitu drastik, negara kita masih mengekalkan sistem pengurusan dan program pembangunan yang lama. Situasi ini memberi kesan kepada pencapaian negara kita. Kemerosotan pencapaian bola sepak negara kita disebabkan perkembangan luar biasa bola sepak di beberapa negara Asia.

2. Kita lambat memperkenalkan Liga Profesional dan begitu takut untuk berhadapan dengan kehadiran pemain-pemain luar dalam kancah liga tempatan. Setiap tahun FAM membuat kajian dan keputusan-keputusan mengenai liga tempatan, tetapi keputusan yang dibuat tidak melibatkan bola sepak secara keseluruhan tetapi hanya aspek-aspek kecil seperti kebenaran menggunakan pemain asing dan format liga.

3. Kepimpinan FAM gagal. Mereka tidak ada idea, tidak kreatif dan takut untuk membuat perubahan yang drastik ke arah pembangunan bola sepak negara. Peminat bola sepak tempatan amat tidak faham dengan situasi ini dan tidak tahu apa isu sebenarnya yang melingkari FAM sehingga kelihatan gagal memajukan bola sepak negara.

4. FAM mempunyai barisan kepimpinan yang terdiri dari kalangan bukan ahli dalam bola sepak. Malah, mereka hanya mahu menjawat jawatan tetapi memberi khidmat secara sambilan. Bebanan kerja mungkin kepada Setiausaha Agungnya sahaja tetapi individu lain di dalam FAM kelihatan menjadi penumpang dan bekerja apabila ada jemputan melalui surat rasmi.

5. Program pembangunan bola sepak negara tidak telus, bersifat pilih kasih, tidak berkembang dan miskin sumber kewangannya. Di peringkat negeri juga program perkembangan bola sepak kelihatan samar, apa lagi di peringkat daerah. Ada daerah yang tidak ada persatuan bola sepak.

6. FAM dan kerajaan tidak diberi dana yang cukup untuk program latihan pasukan kebangsaan. Pasukan kebangsaan tidak didedahkan kepada perlawanan-perlawanan antarabangsa secara berjadual. Pasukan kebangsaan hanya dibentuk untuk sesuatu pertandingan. Pasukan kebangsaan perlu disiapkan sepanjang masa. Jika tidak ada kejohanan, pasukan kebangsaan patut terlibat dengan sesi perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan ternama di luar negara, bukan hanya menanti kehadiran pasukan luar datang bertandang. Kalau hendak maju kita perlu menjelajah semua benua untuk bermain bola sepak.

7. Kita juga amat kurang kelengkapan bola sepak. Kita hanya pernah mengimport jurulatih dan pemain-pemain untuk liga sahaja tetapi tenaga-tenaga pakar lain dalam sukan bola sepak tidak pernah diambil berat oleh FAM. Gelanggang atau padang bola kita juga masih tidak bermutu. Pakar-pakar psikologi, pakar taktikal, pakar perubatan, pakar sains sukan, pakar fasiliti, pakar permakanan dan banyak lagi tenaga pakar yang tidak kelihatan dalam kancah bola sepak kita.

8. Kita mempunyai produk yang cukup di kalangan pemain-pemain di peringkat umur atau di peringkat MSSM. Tetapi pemain-pemain tersebut tidak diberi peluang secukupnya selepas tamat persekolahan. Mereka membawa haluan sendiri dan hanya terlibat di pertandingan tujuh sebelah di kampung-kampung. Sedangkan bakat mereka telah dikenalpasti oleh guru.

9. Corak permainan pemain kebangsaan atau pemain-pemain tempatan amat lambat dan kelihatan pasif. Mereka gemar menyimpan bola terlalu lama, tidak bergerak pantas, tidak membuka ruang apabila rakan menguasai bola dan aspek hantaran amat lemah. Kawalan bola amat penting dalam permainan bola sepak tetapi pemain-pemain kita kelihatan sukar untuk menjinakkan bola.

10. Berbelanja besar juga menjadi sebahagian faktor ke arah pembangunan bola sepak negara. Jika liga tempatan diurus dalam serba kekurangan, ianya memberi kesan kepada mentaliti pemain. Permasalahan ini terbawa-bawa dan mengganggu konsentrasi mereka ketika bermain terutamanya isu gaji pemain.

11. Pengurusan bola sepak negara dan negeri tidak dilakukan secara sepenuh masa. Persatuan bola sepak negeri di ketuai oleh orang politik dan mereka yang mempunyai kepentingan. Tumpuan tidak boleh diberikan seratus peratus kerana lebih menumpukan urusan mentadbir negeri dan kerja pengurusan diserahkan kepada individu yang tidak layak, tidak berminda bola sepak dan tiada kemahiran memimpin.

12. Mentaliti pemain negara juga masih di tahap rendah. Mereka menjadi popular tidak kena tempat. Disiplin sebagai seorang pemain bola sepak masih diragui. Mereka tidak terlibat dengan kerja-kerja kajian tentang keperluan permainan bola sepak semasa ketika masa lapang. Mereka hanya menatap majalah bola sepak dan menonton perlawanan di kaca televisyen. Keperluan penjagaan kesihatan dan kaedah pemakanan tidak dihiraukan. Pemain tidak memahami istilah belajar sepanjang masa dan di setiap tempat. Ringkasnya, pemain bola sepak perlu banyak membuat kerja rumah, kajian-kajian dan banyak membaca.

13. Masa di luar musim liga, waktu terbaik untuk membina kekuatan pasukan kebangsaan. Tetapi pemain-pemain kita lebih sibuk dengan aktiviti sendiri.

14. Pemilihan pemain juga tidak begitu tepat. Ada pemain yang sudah tenggelam namanya, tiba-tiba berada dalam senarai pemain kebangsaan. Kita amat tidak mengetahui prosedur pemilihan pemain. Siapa yang membarisi panel pemilihan atau adakah ianya hanya kerja ketua jurulatih sahaja.

15. Peranan pengurus pasukan pula seperti seorang pelancong semasa menyertai kejohanan. Suara dan pandangan pengurus juga perlu. Pemilihan kesebelasan pemain utama perlu dibuat secara permuafakatan di kalangan tenaga penting dalam pasukan, bukan hanya peranan ketua jurulatih sahaja.

16. Pemain-pemain muda pula tidak cukup kekuatan mindanya untuk bersaing dengan pemain negara luar. Kekuatan mental boleh diperkasakan dengan penglibatan pasukan dengan pelbagai pertandingan dan perlawanan persahabatan. Di samping itu, khidmat pakar-pakar dalam bidang ini juga dirasakan penting. Minda pemain perlu diasah dan ditanam dengan semangat patriotisme yang kuat. Mereka mewakili negara, membawa nama negara dan bertanggungjawab menjaga maruah negara.

17. Beberapa keputusan yang dibuat oleh FAM dalam isu-isu liga tempatan kelihatan seperti tindakan terbelakang. Sebagai sukan nombor satu negara setiap perancangan bola sepak perlu kelihatan baru, berani dan mengambilkira perkembangan sukan itu di seluruh dunia.

18. Terdapat budaya ugutan kepada pegawai-pegawai yang terlibat dengan pasukan. Contohnya isu di Kejohanan Piala Suzuki AFF baru-baru, jurulatih negara B Sathianathan sudah diberi kata dua sebelum berlangsung pertandingan oleh orang kuat FAM. Seorang jurulatih profesional faham dengan tugasnya dan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas tamat sesuatu kejohanan tanpa perlu diminta.

19. Soal kebajikan pemain juga perlu ada dalam agenda FAM. Ada pemain yang mewakili negara tetapi datang dari pasukan kerdil di kancah liga tempatan, mereka mungkin bermasalah dengan isu gaji dan sebagainya. Tidak ada manusia yang mampu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya jika sedang berhadapan dengan masalah kewangan.

20. Pemain-pemain kebangsaan dan negeri perlu bebas dari gejala negatif. Ianya umpama bakteria yang boleh berjangkit. Perlu ada tapisan dan soal kreadibiliti pemain perlu diutamakan. Kejujuran dan keikhlasan untuk bermain demi negara perlu ada di setiap individu yang menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

21. Akhirnya, kita sudah berada di era profesional, bermakna apa saja tindakan kita perlu berstatus profesional. Tetapi anehnya, sikap, pemikiran, tindakan dan hasil kerja kita masih di tahap amatur.

2 Komen »

  1. bcngfcnhgfjgjhjg

    Komen oleh a b c | 19 Julai 2010 | Balas

  2. Saya suka akan pasukan negara:-)

    Komen oleh Aidan Gerard | 13 September 2014 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: