lubukzai

Sini..Sana..Situ…

Perdana Menteri 4

Yang Amat Berbahagia Tun
Mahathir bin Mohamad
Mahathir bin Mohamad

Perdana Menteri Malaysia ke-4
Dalam pejabat
16 Julai 1981 – 31 Oktober 2003
Raja Sultan Ahmad Shah (1979 – 1984)
Sultan Iskandar (1984 – 1989)
Sultan Azlan Shah (1989 – 1994)
Tuanku Ja’afar (1994 – 1999)
Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah (1999 – 2001)
Tuanku Syed Sirajuddin (2001 – 2006)
Timbalan Presiden Musa Hitam (1981 – 1986)
Ghafar Baba (1986 – 1993)
Anwar Ibrahim (1993 – 1998 )
Abdullah Ahmad Badawi (1998 – 2003)
Didahului oleh Hussein Onn
Digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-4
Dalam pejabat
15 September 1978 – 16 Julai 1981
Didahului oleh Hussein Onn
Digantikan oleh Musa Hitam

Lahir 20 Disember 1925 (umur 83)
Alor Star, Kedah Darul Aman
Pasangan Dr. Siti Hasmah
Pekerjaan Doktor
Agama Islam
Tandatangan Mahathir bin Mohamad's signature

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Tulisan Jawi: محضير بن محمد, dilahirkan pada 20 Disember 1925; juga digelar sebagai “Dr. M” dan nama penanya Che Det) adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui pemeliharaan suatu golongan pertengahan orang Melayu. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang suka berterus-terang dan bersifat kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).

Dr Mahathir telah dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC).

Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia”, negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Pada Jun 2005, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara.

Latar Belakang

Dr. Mahathir dilahirkan di No.18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 20 Disember 1925. Bapanya bernama Mohamad bin Iskandar berketurunan separuh India (anak kepada seorang Malayalee yang berhijrah ke Malaysia dari Kerala, India) sementara ibunya seorang Melayu bernama Wan Tempawan binti Wan Hanafi.[1] Dalam autobiografinya, Dr. Mahathir mengaku bahawa beliau mempunyai keturunan orang India yang mempunyai kaitan dengan Kerala, India (di mana tempat asal orang Malayalee), manakala ibunya adalah orang Melayu yang dilahirkan di Kedah. Walau bagaimanapun, beliau mengganggapkan dirinya sebagai Melayu yang tulen.

Nama datuk beliau, “Iskandar” turut diabadikan pada sebuah sekolah rendah di bandar Alor Setar, Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar. Manakala ayahnya pula adalah guru bahasa Inggeris dan juga Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Di sekolah tersebut, bapa beliau dipanggil sebagai “Master” atau “Mohamad Iskandar”.

Ibunya mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama ‘Terusan Wan Mohamad Saman‘ atau Sungai Korok.

Beliau mempunyai 9 adik-beradik, iaitu empat perempuan dan lima lelaki, yang mana Dr. Mahathir merupakan anak bongsu. Empat dari mereka (dua lelaki dan dua perempuan) adalah saudara sebapanya, hasil perkahwinan Mohammad bin Iskandar dengan isteri yang pertama.

Pendidikan

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES), kini Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1932. Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge) di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.

Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

Kerjaya dan Keluarga

Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali pada 5 Ogos, 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak beliau ialah :

  • Marina Mahathir
  • Mirzan Mahathir
  • Melinda Mahathir
  • Mokhzani Mahathir
  • Mukhriz Mahathir
  • Maizura
  • Mazhar
  • Daniel Fariezs

Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Star yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.

Kerjaya politik

Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.

Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya. (Sebagai ejekan, Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia 1969 dengan undi-undi orang Cina, apabila kaum Melayu dipecah disebabkan perselisihannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.)

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.

Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku “Dilema Melayu” (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya.

Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada tahun 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.

Kesihatan

Pada 24 Januari 1989 Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), Kuala Lumpur.

Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana serangan jantung setelah saluran darah arteri tersumbat.

Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Langkawi selepas kesukaran bernafas pada jam 4.00 petang.

Pada 4 September 2007, Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN selama 5 jam. Pembedahan diketuai pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathooth, Datuk Dr. Azahari Yakub, Datuk Dr. Venugopal Balchand, Datuk Ezani Mohd. Taib dan Ketua Pakar Bedah Kardiologi Klinik Mayo di California, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Hartzell Schaff. Ini merupakan pembedahan saluran darah arteri kali ke-2.

Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN jam 7.00 pm. Ketika ini beliau berusia 82 tahun.[2]

Kontroversi

Krisis perlembagaan

Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada dibawah bidang kuasa mereka.

Pada tahun 1988, apabila UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung, Mahathir dipercayai merencanakan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan tiga orang lagi hakim Mahkamah Agung yang cuba untuk menghalang kes tersebut. Siri insiden 1988 ini dilihat sebagai titik hitam sejarah perundangan negara Malaysia yang sepatutnya bebas dari campur tangan pihak eksekutif.Mahathir selaku ketua badan eksekutif telah mencampuri urusan badan kehakiman ketika itu.

Pemecatan Anwar Ibrahim

Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.

Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai “Gerakan Reformasi” dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walaubagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti-parti pembangkang di Malaysia.

Keluar UMNO

Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO[3]. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Dr Mahathir mendakwa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.

Tindakan Dr Mahathir dikritik oleh Pengerusi DAP Karpal Singh yang melabelkan Dr Mahathir sebagai ahli politik murahan[4]. Tindakan Mahathir dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil siasatan klip video Lingam yang melibatkan nama beliau. Menurut Karpal, Dr Mahathir seharusnya cuba membersihkan namanya. Mahathir bagaimanapun menafikan tindakan beliau ada kena mengena dengan kes klip video Lingam.

Pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Dr Mahathir dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO[5].

Untuk rekod, bekas presiden-presiden UMNO terdahulu meninggal dunia selepas melepaskan jawatan presiden di dalam parti UMNO kecuali Tun Abdul Razak, yang meninggal ketika masih menjawat jawatan tersebut.[6]. Dato’ Onn Jaafar keluar dari UMNO apabila cadangan beliau untuk menjadikan UMNO parti berbilang bangsa tidak dipersetujui. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pula meninggal dunia selepas melepaskan jawatan di dalam parti UMNO kerana berselisih pendapat dengan Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama lebih 21 tahun.

Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam berkata ‘duri dalam daging sudahpun terkeluar’ dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep ‘Mahathirisme’ sudah berlalu[7].

Penulisan Blog

Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1:27 AM, dengan penulisan beliau “The Appointment of Judges“. Pada 19 Jun, blog beliau dr-chedet.blogspot.com, telah disekat oleh Bloggers.com kerana disyaki menyebarkan mesej berbentuk spam.[8]

Kini blog beliau terletak di http://www.chedet.cc/.

Garis masa

  • 1925: Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 20 Disember.
  • 1945: Mengambil bahagian dalam penentangan Malayan Union.
  • 1946: Menjadi ahli UMNO semasa ia ditubuhkan.
  • 1953: Mendapat ijazah perubatan dari King Edward VII Medical College (yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaya) di Singapura;
  • 1954: Berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Star, Hospital Langkawi, Hospital Jitra dan Hospital Perlis.
  • 1957: Berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, Maha Clinic di Alor Star.
  • 1964: Dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar atas tiket Parti Perikatan selepas beliau menewaskan calon PAS, Mohd Shaari Haji Abdul Shukur, dengan majoriti 4,210 undi; Dr Mahathir mendapat 12,406 undi, sementara Mohd Shaari mendapat 8196 undi.
  • 1965: Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO.
  • 1968: Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pelajaran Tinggi.
  • 1969: Ditewaskan oleh calon Pas, Haji Yusoff Rawa dalam Pilihanraya pada 10 Mei, dengan 989 undi di kawasan Kotar Setar; beliau dikatakan kalah kerana kehilangan “undi Cina” apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak perlu undi Cina untuk memenangi dalam pilihanraya;
    • Dipecat jawatan daripada Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, berikutan pengedaran suratnya kepada Tunku Abdul Rahman;
    • Diberhentikan keahliannya dalam UMNO pada 26 September.
  • 1970: Mengeluarkan buku dalam bahasa Inggeris yang bertajuk “Dilema Melayu” (The Malay Dilemma); buku ini diharamkan dengan serentak.
  • 1972: Diterima kembali menjadi ahli UMNO pada 7 Mac;
    • Dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Perindustrian Makanan Malaysia (FIMA).
  • 1973: Dilantik sebagai senator.
  • 1974: Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Universiti Nasional;
    • Melepaskan jawatan sebagai senator untuk bertanding di Pilihanraya 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding;
    • Dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 5 September.
  • 1975: Menjadi salah satu daripada tiga naib presiden UMNO, selepas memenangi dengan majoriti sebanyak 47 undi.
  • 1976: Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada 5 Mac.
  • 1978: Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Tun Hussein Onn pada 15 September;
    • Melepaskan jawatan sebagai Menteri Pelajaran untuk menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (1 Jun 1978 – Julai 1981);
  • 1981: Menjadi Presiden UMNO pada 26 Jun, dan Perdana Menteri Malaysia ke-empat pada 10 Julai, berikutan perletakan jawatan Tun Hussein Onn atas sebab-sebab kesihatan;
    • Menjadi Menteri Pertahanan (18 Julai, 1981 – 6 Mei, 1986) disamping memegang jawatan Perdana Menteri;
    • Melancarkan slogan-slogan “Bersih, Cekap dan Amanah”, “Kepimpinan Melalui Teladan”, the “Dasar Pandang ke Timur“, “Pemupukan Nilai-nilai Islam“, dan polisi pemulauan barang UK (“Buy British Last”);
    • Mencepatkan masa sebanyak setengah jam di Semenanjung Malaysia untuk menyeleraskannya dengan Malaysia Timur;
    • Meminta maaf daripada Tunku Abdul Rahman secara umum;
    • Menarik balik pengharaman buku Dilema Melayu (The Malay Dilemma)
    • Merancangkan serangan subuh dengan pengambilan kembali Guthrie Corporation oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) di Bursa Saham London pada 7 September, supaya memulangkan hakmilik lebih kurang 200,000 ekar tanah pertanian kepada rakyat Malaysia.
  • 1983: Mengemaskinikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan, supaya rang undang-undang yang diputuskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dapat menjadi akta, selepas penerimaan pendapat Yang Di-Pertuan Agung ataupun Sultan-sultan negeri masing-masing;
    • Menubuhkan PROTON, sebuah projek kereta nasional.
  • 1986: Datuk Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 27 Februari;
    • Ghafar Baba dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia;
    • Menjadi Menteri Dalam Negeri pada 7 Mei di samping memegang jawatan Perdana Menteri;
    • Suatu pertikaian tertimbul dengan negeri Singapura tentang lawatan rasmi Chaim Herzog, Presiden negara Israel.
  • 1987: Menewaskan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti yang nipis sekali pada 24 April;
    • Menjadi Menteri Kehakiman di samping memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri Malaysia.
  • 1988: Memecat empat hakim Mahkamah Tertinggi, termasuk Tun Salleh Abas kerana menghalang perbicaraan tentang salah laku tata tertib semasa kehadapan UMNO akan diputuskan oleh Mahkamah Tertinggi (pada masa itu, UMNO telah diharamkan oleh Makhamah Tinggi);
  • 1990: Menjadi Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri (Oktober 1990 – Januari 1999) di samping memegang jawatan Perdana Menteri.
  • 1993: Melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri;
    • Mengehadkan pengecualian Sultan-sultan daripada pendakwaan, selepas peristiwa Douglas Gomez;
    • Perhubungan di antara Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin Australia merosot apabila Paul Keating mewajahkan Dr. Mahathir sebagai seorang yang degil (“recalcitrant”) kerana enggan menghadiri Persidangan APEC.
  • 1997: Menetapkan nilai mata wang Malaysia pada 1 September supaya mengatasi Krisis Ekonomi Asia 1997.
  • 1998: Memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari semua jawatan dalam kerajaan dan dalam UMNO pada 2 September;
    • Mendakwa Anwar Ibrahim atas kesalahan peliwatan dan penyalahgunaan kuasanya; Anwar dihadapkan ke makhamah pada 2 November;
    • Pergaulan dengan Amerika Syarikat menjadi buruk apabila Al Gore, Naib Presiden Amerika Syarikat, merendahkan nama baik negara Malaysia di Persidangan APEC yang pada masa itu dianjurkan oleh Malaysia.
    • Melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri;
    • Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, yang menelan kos sebanyak RM13 bilion;
    • Penghabisan pembinaan Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 88 tingkat, iaitu menara berkembar yang tertinggi di dunia;
    • Dipilih sebagai “Asia’s Newsmaker of 1998” oleh Majalah TIME.
  • 1999: Menjadi Menteri Kewangan Pertama pada 8 Januari, di samping memegang jawatan Perdana Menteri ketika Malaysia masih mengalami Krisis Ekonomi 1997;
    • Pembukaan rasmi Cyberjaya, sebuah bandar yang baru yang memainkan peranan yang penting dalam Koridor Raya Multimedia Malaysia.
  • 2001: Menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas (5 Jun 2001) disamping memegang jawatan Perdana Menteri.
  • 2002: Mengumumkan penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajarkan mata pelajaran Matematik dan Sains, mulai tahun 2003;
    • Mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi telah dirayu untuk membuat penangguhan selama 18 bulan.
  • 2003: Bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober, 2003 dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi, sebagai pengganti; beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun, dan terjadi salah satu daripada pemimpin-pemimpin negara Asia yang paling lama perkhidmatannya;
    • Dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia.
  • 2008: Dianugerahkan Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.) membawa gelaran “Datuk Seri Utama”.

1 Komen »

  1. boleh tahan bekas perdana menteri kter ny……… tahniah

    Komen oleh intan nurul atira | 19 Oktober 2010 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: